Powered By Blogger

Friday, May 14, 2010

Silat Gayong

Silat Gayong, Seni Bela Diri dan Perisai Orang Melayu

Silat, Seni Beladiri MelayuSeni silat adalah sejenis ilmu bela diri yang diakui umum sebagai hak asli kepunyaan bangsa Melayu sebagai perisai diri. Berdasarkan bukti penemuan tinggalan sejarah yang terdapat di Candi Borobodur dan Candi Prambanan di Jawa, dapatlah disimpulkan bahawa sudah wujud seni mempertahankan diri ini di kawasan kepulauan Melayu pada abad ke-8 Masihi. Bermula dari kepulauan Riau, sistem bela diri ini dikatakan merebak ke Minangkabau, Sumatera. Di Sumatera, seni pertempuran ini diperhalusi lagi dan dikenali sebagai Pencak Silat. Ilmu silat ini pernah digunakan oleh kerajaan Srivijaya (abad ke-7 hingga abad ke-14) untuk memperluaskan empayarnya. Pada zaman kekuasaan Majapahit (abad ke-13 hingga abad ke-16), ilmu silat dikatakan telah mencapai kemuncak kesempurnaannya apabila penggunaan senjata disertakan.

Dari Minangkabau, silat diperkenalkan di Semenanjung Tanah Melayu melalui Melaka. Dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka, hanya golongan yang rapat dengan istana sahaja diberikan peluang untuk mempelajari silat. Seni silat ini akhirnya sampai ke pengetahuan rakyat jelata dan seterusnya menjadi suatu kesenian desa. Laksamana Hang Tuah (Bapa Persilatan Melayu) dikatakan mempelajari seni silat daripada Sang Adi Putera di Gunung Ledang dan Sang Persanta Nala di Pulau Jawa (Majapahit).

Untuk menyempurnakan ilmu silat pengamal mestilah menghayati falsafah yang terkandung di dalam ilmu tersebut. Pada zaman dulu hampir kesemua orang mengamalkan silat. Tetapi cuma beberapa yang layak digelar pendekar. Hanya mereka yang mempunyai keutuhan akhlak dan berhemah tinggi mampu mencapai tahap ini.

Pada zaman ini wujud beratus-ratus perguruan silat. Setiap perguruan mempunyai gaya dan caranya yang tersendiri. Tetapi umumnya asas silat ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu 'bunga' dan 'buah'. Seni bunga adalah gerak tari yang lembut dan gemalai sebagai gerak untuk mengelirukan lawan. Manakala buah pula adalah gerak langkah yang keras, padu dan padat untuk menumpaskan lawan. Tetapi ada perguruan yang tidak menghiraukan seni bunga dan hanya mengajar buah, contohnya seperti Silat Cekak. Anak muridnya dikehendaki berdiri tegak menghadapi lawan, pukul balas digunakan hanya ketika diserang dan itupun apabila pukulan sudah berada seinci dua dari badan.

Seni Silat Gayong dibawa ke Tanah Melayu (Malaysia) oleh seorang putera Bugis dari Kepulauan Sulawesi bernama Daeng Kuning atau digelar Panglima Hitam. Beliau bersama-sama dengan enam saudaranya bermastautin di Tanah Melayu di mana segala ilmu persilatan diturunkan kepada keturunannya. Pada masa ini pecahan ilmu tersebut boleh dilihat dengan wujudnya pelbagai perguruan gayong di Malaysia seperti Gayong Patani dan Gayong Pesaka. Tapi yang paling utama ialah Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) yang diasaskan oleh Dato' Meor Rahman, cucu kepada Daeng Kuning yang digelar 'Mahaguru' oleh penuntut silat gayong. Antara mereka yang pernah mengamalkan silat gayong ialah allahyarham Mat Kilau, Dato' Bahaman dan Dato' Maharaja Lela.

No comments:

Post a Comment